Keistimewaan Awal Zulhijjah

Telah sampai kepada kita awal Zulhijjah yang mana keistimewaannya amat hebat dan besar. Untuk memahami kelebihan, fadhilat dan keistimewaanya, kami nukilkan daripada kitab Lata’if Al-Maarif oleh Ibnu Rajab al-Hanbali.

Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ.
“Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini -baginda memaksudkan 10 hari terawal Zulhijjah-.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda: “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali (syahid).” [Riwayat al-Bukhari (969), Abu Daud (2438), Ibn Majah (1727), al-Tirmidzi (757)]

Antara dalil khusus kepada kelebihan suatu amalan dalam tempoh 10 hari terawal Zulhijjah ke atas jihad yang sama tempohnya ialah hadis yang diriwayatkan dalam Shahih Ibnu Hibban daripada Jabbir, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَفْضَلُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ أَيَّامِ عَشْرِ ذِي الْحِجَّةِ، قَالَ: فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هُنَّ أَفْضَلُ أَمْ عِدَّتُهُنَّ جِهَادًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، قَالَ: هُنَّ أَفْضَلُ مِنْ عِدَّتِهِنَّ جِهَادًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ
“Tidak ada hari-hari yang afdal di sisi Allah berbanding 10 hari dalam bulan Zulhijjah.” Seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, adakah hari-hari itu afdal atau jihad di jalan Allah dalam tempoh tersebut?” Baginda bersabda: “Ia afdal berbanding jihad di jalan Allah dalam tempoh tersebut.”

Justeru, amalan yang dilakukan pada 10 hari ini dilebihkan ke atas jihad yang dilakukan pada 10 hari juga, bukannya secara mutlak.

Adapun perbahasan mengenai setiap harinya menyamai setahun, sebulan, atau 1000 hari, maka semuanya termasuk daripada hadis-hadis yang dhaif (lemah) tentang kelebihan beramal. Kebanyakannya menceritakan tentang kelebihan puasa dalam tempoh 10 hari terawal Zulhijjah, sedangkan puasa juga mempunyai keistimewaan dalam gandaan pahalanya. Puasa bagi Allah, dan Allah berhak memberi ganjarannya. Ia tidak khusus kepada puasa bahkan meliputi semua amalan. Sebenarnya hadis itu menjadi dalil kepada setiap malam yang dilakukan pada 10 hari tersebut lebih utama daripada amalan yang sama yang dilakukan selain daripada tempoh itu dalam suatu tahun. Maka, maksudnya adalah orang yang berjihad pada 10 hari terawal Zulhijjah lebih utama berbanding orang yang berjihad ada waktu selainnya dalam suatu tahun.

Sesungguhnya Allah SWT bersumpah dengan 10 malam terawal Zulhijjah dengan berfirman:


وَالْفَجْرِ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ ﴿٢﴾
“Demi waktu fajar, dan 10 malam (serta hari terawal Zalhijjah).” (Surah al-Fajr: 1-2)

Berkenaan maksud fajar, ada ulama’ mengatakan ia adalah seluruh waktu fajar, waktu terbit fajar, solat subuh, atau seluruh waktu siang; yang semua ini adalah khilaf dalam kalangan mufassirin. Selain itu, ada juga pandangan yang memilih maksudnya ialah; waktu fajar tertentu, fajar yang terbit pada hari pertama dari 10 hari terawal Zulhijjah, atau fajar pada hari terakhirnya, iaitu hari raya korban. Berdasarkan semua pandangan ini, tempoh 10 hari tersebut merangkumi waktu fajar yang telah disumpah oleh Allah.

Sumpahan ini menunjukkan kepada kelebihan malam-malamnya, tetapi tidak sabit hadis berkenaan semua malam atau salah satunya menyamai malam al-Qadr.

Beberapa kumpulan ulama Mazhab Hanbali mendakwa bahawa malam Jumaat afdal daripada malam al-Qadr, namun pengambilannya daripada Imam Ahmad adalah tidak benar. Oleh itu, berpandukan kepada pandangan mereka, melebihkan 10 malam ini ke atas malam al-Qadr boleh diterima.

Pandangan sebenar ialah pandangan sebahagian ulama’ muta’akhkhirin yang mengatakan: “Keseluruhan 10 malam terawal Zulhijjah afdal daripada keseluruhan 10 malam di bulan Ramadhan walaupun dalam 10 malam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang tiada tolok bandingnya.” Wallahua’lam.

Diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad, daripada Abu Sa’id al-Khudri:

أن النبي صلى علىيه و سلم قال في حجة الوداع في خطبته يوم النحر : ألا إِنَّ أحرمَ الأَيَّامِ يومُكُمْ هذا ألا وإِنَّ أحرمَ الشُّهورِ شَهْرُكُمْ هذا ألا وإِنَّ أحرمَ البَلَدِ بَلَدُكُمْ هذا
“Bahawa Nabi SAW bersabda ketika haji wada’ dalam khutbahnya pada hari raya korban: “Ingatlah, sesungguhnya semulia-mulia hari ialah hari kamu ini (Arafah). Ingatlah, sesungguhnya semulia-mulia bulan ialah bulan kamu ini (Zulhijjah). Ingatlah, sesungguhnya semulia-mulia tempat ialah tempat kamu ini (Makkah).” [Riwayat Ibnu Majah (3931)]

Hadis ini turut diriwayatkan daripada Jabir, Wabisah Bin Ma’bad, Nubait Bin Syarit, dan para sahabat selain mereka, daripada Nabi SAW. Kesemuanya memberi petunjuk bahawa bulan Zulhijjah adalah sebaik-baik bulan haram iaitu bulan yang paling tinggi kehormatannya.

10 hari ini adalah termasuk daripada tempoh 40 hari yang dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Musa alaihissalam. Firman Allah Taala:

وَوَاعَدْنَا مُوسَىٰ ثَلَاثِينَ لَيْلَةً وَأَتْمَمْنَاهَا بِعَشْرٍ فَتَمَّ مِيقَاتُ رَبِّهِ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً ۚ وَقَالَ مُوسَىٰ لِأَخِيهِ هَارُونَ اخْلُفْنِي فِي قَوْمِي وَأَصْلِحْ وَلَا تَتَّبِعْ سَبِيلَ الْمُفْسِدِينَ ﴿١٤٢﴾
“Kami telah menjanjikan tempoh kepada Musa (untuk diberikan kitab Taurat) selama 30 malam, dan Kami sempurnakan jumlahnya dengan 10 lagi, lalu cukuplah waktu yang ditentukan oleh Tuhannya selama 40 malam.” Musa berkata kepada saudaranya, Harun (semasa hendak keluar dalam tempoh 40 hari ini): “Gantikanlah aku dalam urusan memimpin kaumku, perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah turuti jalan golongan yang melakukan kerosakan.” [Surah al-A’raf: 142]

Abdurrazaq meriwayatkan daripada Ma’mar, daripada Yazid bin Abu Ziyad, daripada Mujahid, katanya: “Tidak ada amalan pada seluruh hari dalam setahun yang afdal daripada 10 hari terawal Zulhijjah. Ia adalah 10 hari yang disempurnakan oleh Allah kepada Nabi Musa Alaihissalam.”

Oleh itu, marilah kita beramal dan perbanyakkan amal kebajikan. Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk sentiasa melakukan amal soleh untuk bekalan di akhirat kelak.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


(Visited 1 times, 1 visits today)

Be the first to comment

Leave a Reply